KANGAR: Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Pelan Pembangunan Perlis Geopark dalam masa terdekat sebagai usaha bagi membolehkan negeri ini mencapai status UNESCO Geopark.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pelan tersebut juga adalah bagi memastikan agenda pembangunan yang akan dibawa dapat dirancang secara tersusun dan direalisasikan dengan sebaiknya.
Beliau berkata, pembangunan berkenaan mampu dijadikan sebagai panduan bukan sahaja di peringkat kerajaan malah kepada komuniti dan pihak swasta.
“Saya berharap juga seiring dengan pengiktirafan ini kerajaan negeri dan rakyat Perlis khususnya dapat bersama-sama menjaga warisan alam ini.
“Kebersihan adalah antara faktor utama untuk kita terus memastikan seluruh Perlis ini damai, menawan dan dapat menarik seramai mungkin pelancong luar mahu pun dalam negara untuk berkunjung ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemahsyuran Perlis Sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, di sini, hari ini.
Perlis sebelum ini mencipta sejarah tersendiri apabila keseluruhan negeri diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan Ke-10 menerusi sesi penilaian yang dijalankan pada September tahun lalu.
Berdasarkan proses penilaian berkenaan, Perlis Geopark telah memenuhi skop untuk diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan dengan memperolehi markah sebanyak 92.96 peratus.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, Perlis Geopark merangkumi keseluruhan negeri ini merangkumi keluasan meliputi tanah daratan seluas 819 kilometer persegi dan kawasan luar pantai sejauh tiga batu nautika.
“Perlis dikurniakan dengan keindahan muka bumi, flora dan fauna serta keunikan geologi. Atas faktor itu, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menjadikan Perlis sebagai Geopark Kebangsaan.
“Ia merupakan satu khazanah yang sangat bernilai untuk dipelihara, dijaga dan diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.
Di samping itu, Mohd. Shukri berkata, melalui pengiktirafan tersebut, Perlis Geopark kini telah mula mendapat perhatian ramai dan menerima kunjungan dari dalam dan luar negara menerusi Pengurusan Geopark serta Geoguide.
Beliau berkata, media dan penyelidik juga mula berminat untuk menjelajah negeri ini bagi
mendapatkan maklumat serta pengetahuan lanjut berhubung Perlis Geopark.
“Senario ini dilihat sebagai sesuatu yang amat membanggakan dan memberi impak positif kepada negeri dalam aspek ekonomi pelancongan dan membuka peluang kepada rakyat untuk menambah pendapatan,” katanya.-UTUSAN










