Kerja dari rumah langkah atasi kesesakan lalu lintas

Kerja dari rumah langkah atasi kesesakan lalu lintas

PELAKSANAAN semula bekerja dari rumah untuk sejumlah pekerja di sektor awam atau swasta dipercayai dapat membantu mengatasi masalah kesesakan trafik yang membelenggu kehidupan masyarakat di Lembah Klang saban hari. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan semula bekerja dari rumah (WFH) bagi sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan jumlah pekerja di sektor awam atau swasta dilihat sebagai langkah terbaik menangani masalah kesesakan jalan raya yang kian meruncing khususnya di ibu negara.

Pada masa sama, keberkesanan jaringan pengangkutan awam seperti Laluan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan komuter perlu dipertingkat supaya lebih mampan serta menyeluruh bagi menggantikan kebergantungan rakyat terhadap penggunaan kenderaan persendirian.

Langkah tersebut sekali gus dapat membantu mengatasi masalah kesesakan trafik yang membelenggu kehidupan masyarakat di Lembah Klang saban hari.

Pakar Keselamatan Jalan Ra­ya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, pelaksanaan WFH tidak perlu dilakukan secara menyeluruh seperti yang dikuatkuasakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, beliau berkata, ia hanya perlu menyasarkan kakitangan di bahagian tertentu seperti pihak pengurusan yang berdasarkan tinjauan hampir 99 peratus daripada mereka memandu sendiri ke tempat kerja, sekali gus menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

“Mungkin bukan semua sektor boleh melaksanakan WFH namun jika 20 peratus daripada kakitangan di bahagian pengurusan dapat diberikan pelepasan tersebut, ia memberi impak sangat besar terhadap aliran trafik khususnya di Lembah Klang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Teik Hua berkata, perkara tersebut sebenarnya sudah dicadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet bagi mengatasi kesesakan jalan raya namun sukar untuk dilaksanakan kerana kerajaan tidak boleh memaksa syarikat patuh kepada polisi berkenaan.

“Cadangan tersebut bukanlah bagi melaksanakan WFH secara menyeluruh sebaliknya hanya kepada bahagian tertentu. Jika sektor swasta tak mahu mengambil pendekatan itu, ia boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan membabitkan kakitangan awam.

“Pada masa sama, kerajaan boleh memperkenal insentif seperti pengecualian cukai dan sebagainya kepada syarikat yang melaksanakan WFH kepada kakitangan masing-masing bagi menyokong usaha ini,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan warga kota mem­­bazirkan kira-kira RM6.8 bilion bagi mengisi petrol akibat terpe­rangkap dalam ke­se­sakan jalan raya ketika berulang- alik ke tempat kerja selama 580 jam setahun.

Jumlah itu diperoleh berda­sar­kan anggaran purata ke­se­sa­kan lalu lintas dihadapi kira-kira 2.2 juta pemilik kende­raan dari Lembah Klang yang memasuki ibu negara semasa waktu puncak, iaitu dari pukul 6 pagi hingga pukul 9 pagi dan terpaksa menghabiskan masa selama 135 minit atau dua jam 15 minit di atas jalan raya.

Berdasarkan kajian, secara umumnya, kenderaan yang ti­dak bergerak dalam kesesakan jalan raya akan menggunakan 2.6 liter minyak setiap sejam.

Sementara itu, terdapat 10 lokasi di ibu negara dikenal pasti mengalami kesesakan trafik paling teruk dengan kadar kelewatan antara 178 minit sehingga 352 minit sehari atas pelbagai faktor termasuk aliran kenderaan terlampau tinggi pada satu-satu masa.

Lokasi dan kadar kelewatan tertinggi yang dikenal pasti tersebut adalah di Jalan Sungai Besi dengan kadar kelewatan mencapai 352 minit, Jalan Kuching (288 minit), Jalan Sultan Azlan Shah (234 minit), Jalan Klang Lama (224 minit), Jalan Kuchai (224 minit), Lebuhraya DUKE (216 minit), Lebuhraya E37 Salak (208 minit), Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban (208 minit), Jalan Cheras (208 minit) dan Jalan Travers serta Jalan Damansara (178 minit).

Senada dengan Teik Hua, Pakar Jalan Raya dari Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, pelaksanaan WFH tersebut perlu dibuat sebagai langkah sementara untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Pada masa sama, kerajaan perlu menaik taraf jaringan sistem pengangkutan awam di negara ini supaya lebih menyeluruh, cepat dan lebih murah atau setara dengan kos pemilikan kenderaan persendirian.

“Jaringan pengangkutan awam di negara sebenarnya bagus namun belum matang dan mampan. Faktor tersebut menyebabkan orang ramai masih bergantung kepada kenderaan persendirian untuk bergerak kerana menganggap kosnya lebih murah dan lebih cepat walaupun terpaksa menghadapi kesesakan trafik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×