KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berhasrat menjadi tuan rumah kejohanan badminton Piala Thomas 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada masa ini.
“Buat masa ini Malaysia tidak bercadang umenjadi tuan rumah kejohanan Piala Thomas 2026 dan ini adalah sejajar dengan pendirian BAM yang tidak berhasrat untuk menganjurkan kejohanan berkenaan buat masa sekarang,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin [PH-Kampar] berhubung sama ada Malaysia berhasrat memohon menganjurkan Piala Thomas 2026 memandangkan tiada negara yang berminat berbuat demikian.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, dakwaan Malaysia terlepas peluang membawa penyanyi antarabangsa, Taylor Swift sehingga kerugian ekonomi, adalah tidak begitu tepat.
“Konsert yang dipertikaikan ini yang melibatkan Taylor Swift sebenarnya tidak pun pernah ditawarkan kepada Malaysia di bawah kontrak bersama dengan ASM Sport, walaupun jelajah selebriti berkenaan telah diumumkan secara rasmi pada November 2022,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Kampar berhubung negara terlepas peluang membawa Taylor Swift ke Malaysia dan mengakibatkan kerugian ekonomi yang gagal diraih. – UTUSAN











