Polis rakam keterangan tiga individu kes bunuh pasangan warga emas - Utusan Malaysia

Polis rakam keterangan tiga individu kes bunuh pasangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis sudah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan penemuan mayat pasangan suami isteri di kawasan kebun sawit di Pantai Remis, dipercayai dibunuh, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, tiga individu itu ialah isteri dan anak saudara suspek.

Menurutnya, polis turut merampas sabit pengait sawit, yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kes tersebut.

“Ketika anggota polis tiba di lokasi kejadian, didapati seorang wanita dan seorang lelaki berada di tempat kejadian dalam keadaan luka parah.

“Sementara, seorang lelaki dipercayai suspek kejadian berlegar-legar di kawasan tersebut dan polis terus menahannya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di Seri Manjung, hari ini.

Beliau menjelaskan, polis masih meneruskan siasatan dan memohon mana-mana saksi untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5087026.

Menurutnya, proses bedah siasat masih dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Pagi tadi, seorang lelaki warga emas direman seminggu di Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi membantu siasatan kes tersebut.

Malam tadi, media melaporkan pasangan suami isteri warga emas ditemui mati dalam sebuah kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga terdekat, petang tadi.

Kedua-duanya yang berusia 74 tahun ditemui dalam keadaan cedera parah pada kepala dan muka dipercayai dilibas dengan sabit sawit.

Mohamed Nordin dilaporkan berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.30 petang.

Lelaki itu memaklumkan bapa saudaranya telah bergaduh dengan abang kandungnya bersama isteri yang juga kakak ipar suspek di sebuah kebun sawit di Pantai Remis.

Menurutnya, kejadian itu disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua mangsa dan suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×