BUKIT MERTAJAM : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tiada penganiayaan atau layanan buruk diberikan terhadap tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru.
Pengarahnya, Nur Zulfa Ibrahim berkata, ketika ini, keadaan di depot berkenaan terkawal dan makanan juga diberikan kepada tahanan mengikut waktu yang ditetapkan.
“Tidak berlaku sebarang penyeksaan atau penderaan dan mereka (tahanan) perlu dijaga dengan baik mengikut hak asasi manusia.
“Selain itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik turut melakukan tinjauan bagi memastikan operasi depot mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sesi ramah mesra bersama media di Jabatan Imigresen negeri di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Human Rights Watch (HRW) yang mengatakan tahanan di pusat tahanan imigresen di sebuah negeri di utara diberikan layanan buruk sekali gus dianggap mencabul hak asasi manusia.
Menurut laporan NGO antarabangsa itu, tahanan didakwa menderita keadaan hidup yang teruk, kurangnya penjagaan perubatan, dan menjadi mangsa penyeksaan serta penganiayaan fizikal berpanjangan, yang didakwa mengakibatkan ‘banyak’ kematian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 435 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh JIM Pulau Pinang sepanjang tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 2,696 individu telah diperiksa dan 584 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan manakala 42 majikan turut dikenakan tindakan undang-undang.
“Setakat semalam pula, sebanyak 166 operasi penguatkuasaan telah dijalankan membabitkan pemeriksaan terhadap 605 individu.
“Daripada jumlah itu, 116 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan manakala lapan majikan turut dikenakan tindakan undang-undang,” ujar beliau.
Tambahnya, untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan untuk mengadakan sekurang-kurangnya 800 operasi iaitu sekali ganda jumlahnya berbanding tahun lalu diikuti dengan Program Repatriasi Migran yang bermula 1 Mac lalu yang bertujuan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal secara sukarela.-UTUSAN










