CheguBard dakwa siasatan polis sekat kebebasan bersuara

CheguBard dakwa siasatan polis sekat kebebasan bersuara, enggan serah telefon bimbit

CHEGUBARD (tengah) Muhammad Zahid Md. Arip (kanan) hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan berkaitan video yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai CheguBard menyifatkan siasatan terhadapnya merupakan intimidasi dan bertentangan dengan perlembagaan negara yang menjamin hak kebebasan rakyat bersuara

Dakwanya, tidak ada satu bahagian dalam video berkenaan yang mempunyai unsur menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Malah dalam rakaman itu membela Yang di-Pertuan Agong dengan menjelaskan kepada orang ramai bahawa Baginda adalah harapan rakyat dalam menyelamatkan negara yang kelihatan menuju negara gagal ini.

“Maka jelas siasatan ke atas kami merupakan intimidasi dan bertentangan dengan perlembagaan negara yang menjamin hak dan kebebasan rakyat bersuara,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan pekarangan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, CheguBard bersama bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md. Arip hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan berkaitan video yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, siasatan yang dikenakan terhadap kami turut melibatkan Akta Hasutan jelas sekali menunjukkan omongan kosong Pakatan Harapan.

“Kami disiasat di bawah Akta Hasutan yang mana Pakatan Harapan menjanjikan untuk memansuhkannya.

“Bagaimanapun akta ini bukan sahaja tidak dimansuh sebaliknya digunakannya,” jelasnya.

Katanya, dia sama sekali tidak akan menyerahkan gajet miliknya kepada pihak polis meskipun ditahan.

“Saya sepatutnya tidak disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perbualan itu secara spontan, dan bukannya saya rakam dan saya tularkan.

“Walaupun saya akan ditangkap, saya tidak akan serahkan gajet bukan kerana takut, tapi bagi saya ia merupakan satu intimidasi dan salah guna kuasa yang jelas,” jelasnya.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan telah dibuka terhadap dua individu berkenaan berhubung kenyataan dibuat.

Razarudin berkata,  siasatan dijalankan ke atas   mereka berdua mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×