Insiden Raja Norway, Langkawi wajar miliki hospital pakar

Insiden Raja Norway, Langkawi wajar miliki hospital pakar

AMAR PARED MAHAMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Anak-anak syarikat milik kerajaan negeri disarankan untuk meneroka pasaran pelancongan berasaskan kesihatan atau health tourism yang semakin mendapat perhatian pelancong dalam merancakkan pelancongan di Langkawi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, Langkawi yang tersenarai di tangga kesembilan sebagai Pulau Terbaik Di Dunia oleh majalah Travel Plus Leisure Readers 2023 seharusnya memiliki hospital pakar bertaraf antarabangsa.

Katanya, fasiliti itu bagi menampung keperluan pelancong asing untuk mendapatkan rawatan kesihatan di pulau pelancongan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita dikejutkan dengan berita Raja Norway, Raja Harald V dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) yang tidak memiliki Wad Diraja untuk mendapatkan rawatan setelah jatuh sakit ketika baginda sedang bercuti di Pulau Langkawi.

“Justeru, kerajaan negeri perlu melihat kepentingan untuk melabur melalui anak-anak syarikat kerajaan negeri atau menarik pelabur bagi mewujudkan hospital pakar bertaraf antarabangsa di Langkawi,” katanya pada Sidang DUN Kedah di sini, hari ini.

Akhbar ini melaporkan Raja Harald V gering ketika bercuti di Langkawi sebelum menjalani prosedur kesihatan di HSM sebelum berangkat pulang pada Ahad lalu.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan cadangan agar kerajaan negeri memberi kelonggaran bagi lesen aktiviti perniagaan berasaskan pelancongan yang perlu diteliti semula.

“Keputusan kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan lesen bagi perkhidmatan pusat kecantikan dan spa menjejaskan pengusaha perkhidmatan sedia ada yang mana kebanyakan resort dan hotel bertaraf lima bintang di Langkawi turut terkesan dengan keputusan itu.

“Kerajaan negeri digesa untuk segera memperincikan garis panduan baharu berkenaan lesen tersebut selain memperkenal Garis Panduan Pusat Kecantikan dan Spa Patuh Syariah agar produk pelancongan ini terus dapat menarik minat pelancong menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi untuk beristirehat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini