Rumah-rumah papan beratap nipah di tepi pantai, air laut yang membiru dan pohon nyiur menggamit kenangan menyambut Ramadan di kampung.
Suasana ini dibawa khas untuk anda yang berbuka puasa di Grand Ballroom, Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Selain pemandangan indah, bufet berbuka puasa, Grand Citarasa menawarkan hidangan berasaskan sumber lautan hasil tangkapan nelayan seperti ketam, kepah buluh, udang dan kepah hitam.
Pembuka selera seperti sotong masala vol au vent antara menu unik yang dihidangkan. Rempah masala sebati bersama sotong, tomato, bawang dan krim mentega diletakkan di atas pastri beracuan tart.

Bebola nasi hujan panas membuka selera. Berintikan daging masak hitam, ia disirami sos tomato ketika dihidangkan.
Hidangan utama menggamit rindu masakan ibu seperti ketam salai masak cili api dan hidangan wajib, kambing panggang dan bubur lambuk daging.
Lebih unik, pencuci mulut dan manisan dihidangkan dalam bekas sepanjang enam meter. Mengandungi kurma dan kuih-muih tradisional seperti ketayap, kuih lapis, keria, aneka talam labu dan seri muka.
Bagi menghilangkan dahaga, pelbagai citarasa minuman sejuk disediakan seperti sirap bandung, limau asam boi dan sirap cincau. Sudut untuk teh tarik dan kopi juga disediakan.
Tempahan meja boleh dibuat sekurang-kurangnya untuk 10 orang dengan bayaran RM238 seorang.
Selera Nusantara JP Teres
Irama gamelan yang dimainkan secara langsung menyambut kedatangan tetamu di pintu masuk JP Teres.
Pengunjung juga berpeluang melihat teknik menganyam ketupat di pintu masuk restoran ini.
Anda yang ingin berbuka dalam suasana santai dengan pelbagai pilihan hidangan, Grand Hyatt menawarkan bufet berbuka puasa di JP Teres.
Bufet ditawarkan bukan saja terhad kepada citarasa Melayu tetapi sajian asli Indonesia dan Brunei atau Nusantara.
Sebaik melangkah ke dalam JP Teres anda pasti terpegun dengan deretan pencuci mulut dan kuih-muih tradisional yang tersusun cantik seperti talam kelapa, agar-agar cendol, agar-agar merah, gulungan Swiss durian dan aneka jenis kek serta coklat.
Di sebelah kiri pula bufet yang menghidangan masakan India dan bufet menu utama seperti kambing bakar sumbat nasi kebuli, ayam kebab dan daging panggang.
Di bahagian luar lebih meriah dengan hidangan Melayu seperti kepah hitam goreng. Menu khas dari Brunei, nasi katok ayam goreng juga mesti dicuba.
Nikmati udara malam di bahagian luar restoran ini yang menyajikan aneka masakan gerai yang popular seperti sate bakar kayu arang, kuetiau goreng, sup gearbox kambing, bihun sup dan aneka sup lain.
Nikmati sate ayam dan daging yang dimakan bersama nasi impit, lemang Pak Ali dan ketupat palas serta kuah kacang.

Selain itu, aneka hidangan barbeku yang tidak jemu dimakan seperti ketam, ikan, udang dan sotong.
Sudut hidangan dari Indonesia pula menghidangkan warong penyet dan gado-gado.
Gerai cendol, ABC dan aiskrim turut disediakan. Penutup selera, jangan lepaskan peluang mencuba roti bakar marjerin dengan kopi panas atau teh tarik.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah setiap hari yang disediakan oleh Grand Hyatt.










