KUALA LUMPUR: Tujuh negara bersetuju menjalin kerjasama dengan Malaysia untuk melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, persetujuan tersebut dicapai selepas pertemuan bersama bekas rakan sejawat semasa beliau menjawat jawatan Menteri Luar, ketika menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 di Antalya, Turkiye, baru-baru ini.
Antaranya ialah Timbalan Perdana Menteri II Kosovo yang juga Menteri Luar; Menteri Luar Uzbekistan, Timbalan Perdana Menteri Iraq merangkap Menteri Luar, Menteri Luar Kyrgyzstan, Menteri Luar Sri Lanka, Presiden Majlis Tertinggi Negara Libya, Presiden Turkish Maarif Foundation dan Menteri Luar Turkiye.
“Persetujuan dicapai dengan semua negara ini bagi kita melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan dan juga bidang-bidang tumpuan yang boleh dipelopori bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang menghadiri ADF itu, Zambry berkata, beliau telah mengadakan lapan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar negara berkenaan dengan pelbagai perkara dibincangkan termasuk berkaitan pendidikan tinggi negara itu.
Zambry yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke forum itu berkata, negara seperti Iraq dan Libya juga bersedia menawarkan biasiswa lebih besar untuk pelajar mereka datang ke Malaysia.
Ketika di Istanbul, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan lima universiti di Turkiye iaitu Universiti Karabuk, Universiti Ankara Yıldırım Beyazıt, Universiti Dicle, Universiti Gebze Technical dan Universiti Mardin Artuklu.
“Usahasama ini sangat baik terutamanya dalam negara ini membina rangkaian pendidikan dengan institusi antarabangsa dan pada masa sama, proses perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran dapat berlangsung melalui pelbagai medium,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia turut diberi penghormatan untuk menjadi panelis bagi sesi bertajuk, Building Asia Pacific Regional Architectures: The Challenge of Unmatching Interest pada program yang dihadiri lebih 4,000 delegasi dari 100 negara itu.
Pada sesi itu, beliau turut menyampaikan pandangan Malaysia dan Perdana Menteri berkenaan isu Asia Pasifik yang semakin menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia.
“Saya menegaskan bahawa Malaysia mahukan sebuah rantau yang bebas daripada sebarang kongkongan mana-mana pihak serta mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan semua pihak demi tujuan menjaga kestabilan rantau,” katanya. – UTUSAN










