Restoran buka kedai runcit untuk simpan barang bersubsidi

Restoran buka kedai runcit untuk simpan barang bersubsidi

NORENA Jaafar menyoal seorang pekerja kedai runcit yang diserbu penguat kuasa KPDN di Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Helah sebuah restoran di Melaka Raya, Banda Hilir di sini membuka sebuah kedai runcit bersebelahan premis itu bertujuan untuk menggunakan barang kawalan bersubsidi terbongkar, selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Lebih mengejutkan, kedai runcit yang baharu dibuka 10 hari itu tidak memiliki lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebarang lesen atau permit menjual barang kawalan bersubsidi.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil maklumat orang awam, pemeriksaan dilaksanakan kira-kira pukul 11.30 pagi mendapati, ia merupakan kejadian pertama di negeri ini dengan modus operandi restoran membuka kedai runcit untuk menyimpan bekalan barang kawalan bersubsidi seperti minyak masak peket, tepung gandum dan gula.

“Hasil pemeriksaan di bahagian stor restoran terbabit, kita menjumpai 50 kilogram (kg) tepung pelbagai jenama, 276 kg gula dan 493 peket minyak masak.

“Keseluruhan rampasan adalah sebanyak 845 kg dengan nilai RM2,000 telah disita. Kita dapati ada satu modus operandi baharu di mana pemilik restoran membuka sebuah kedai runcit bersebelahan yang kita syaki membekalkan barang-barang kawalan kepada restoran tersebut ,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi.

Tambah Norena, pihaknya percaya taktik sedemikian mula digunakan pemilik restoran disebabkan serbuan yang sering dilakukan penguat kuasa KPDN, hingga menyukarkan mereka membeli barang kawalan bersubsidi.

Katanya, kedai runcit dan restoran terlibat dimiliki seorang lelaki warga asing.

“Berdasarkan keterangan pekerja kedai terbabit kita dimaklumkan bekalan minyak masak bersubsidi itu diperoleh daripada pemborong di negeri ini.

“Restoran atau mana-mana kedai makan tidak dibenarkan membeli barangan bersubsidi seperti minyak masak peket satu kg yang dikhususkan untuk kegunaan isi rumah sahaja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×