Produk makanan ringan guna logo halal tidak sah disita - Utusan Malaysia

Produk makanan ringan guna logo halal tidak sah disita

PEGAWAI penguatkuasa KPDN Perak memeriksa produk makanan ringan yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah premis memproses makanan ringan ‘salted egg salmon skin’ di Kawasan Perindustrian Jelapang dekat sini, diserbu sepasukan penguatkuasa semalam, selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah pada produk tersebut.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi pada pukul 11 pagi itu dilakukan selepas menjalankan risikan berikutan menerima aduan awam.

Katanya, siasatan mendapati produk makanan ringan itu dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan ramai.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, premis berkenaan sedang beroperasi dengan memproses ‘salted egg salmon skin’. Seorang wanita disyaki pengurus premis hadir dan membantu ketika pemeriksaan dijalankan.

“Hasil daripada pemeriksaan, kita telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang ditandakan dengan logo halal.

“Semakan awal mendapati logo halal tersebut telah digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut juga mendapati pengurus premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakukan pihak berkuasa apabila diminta.

Sehubungan itu katanya, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita semua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM88,582.50. Siasatan kes dijalankan bagi kesalahan melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah yang sama,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan sama beliau berkata, setiap peniaga dan pengusaha dinasihat agar mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi berkaitan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×