BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menerima sebarang rungutan atau aduan berhubung isu kenaikan harga sejak cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 Mac lalu.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, bagaimanapun, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan menerusi Ops Kesan bagi memastikan peniaga yang terkecuali tidak membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga atau peniaga sorok barang sejak SST berkuat kuasa awal bulan ini.
“Pengguna juga perlu tahu sektor apa yang dikenakan SST atau sebaliknya, sebagai contoh, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) tidak dikenakan SST.
“Justeru, laporkan kepada kami sekiranya terdapat unsur catut di mana peniaga menaikkan harga barangan dalam sektor tidak berkaitan supaya kita dapat jalankan siasatan seterusnya ambil tindakan terhadap peniaga yang ingkar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jualan Ihsan Rahmah Madani di Seberang Jaya, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan.
Terdahulu, media melaporkan SST naik kepada lapan peratus, berbanding enam peratus berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Bagaimanapun, kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.
Peningkatan kadar SST baharu kepada lapan peratus ini diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu. – UTUSAN










