PETALING JAYA: Pengeluar keluli bersepadu, Malaysia Steel Works (KL) Bhd. (Masteel) melantik Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif, berkuat kuasa 1 Mac 2024.
Menurut kenyataan, Syed Mohamed membawa lebih 40 tahun pengalaman menerajui organisasi terkemuka merentasi pelbagai industri, memacu pertumbuhan yang mampan di peringkat global dan di Malaysia.
Beliau mempunyai kepakaran merangkumi perbankan, pembangunan hartanah, teknologi dan strategi perniagaan.
“Beliau kini berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation dan Pengerusi Kumpulan JLand.
“Rekod prestasi Datuk Syed Mohamed yang terbukti dalam memacu keuntungan, memupuk Perkongsian strategik dan menerajui perusahaan korporat transformasi meletakkan beliau sebagai seorang pemimpin yang ideal untuk membimbing Masteel dalam fasa pertumbuhan seterusnya,” menurut kenyataan.
Masteel berkata, penekanan beliau terhadap asas perniagaan yang kukuh dan kepimpinan berpandangan jauh dijangka melakar era baharu dinamisme untuk Masteel.
Komitmen Datuk Syed Mohamed terhadap pertumbuhan perniagaan yang mampan akan mencerminkan secara positif dalam operasi dan strategi masa depan Masteel, kerana Kumpulan mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar keluli ultra-rendah karbon terkemuka negara, memperjuangkan kelestarian dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – ONLINE









