LMT2 mampu kendalikan tujuh juta tan metrik kargo pukal - Utusan Malaysia

LMT2 mampu kendalikan tujuh juta tan metrik kargo pukal

SAARANI Mohamad (kiri, tengah) pada majlis pecah tanah LMT2 di Batu Undan, Segari, dekat Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Terminal Maritim Lumut 2 (LMT2) milik anak syarikat kerajaan Perak, Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. (Lumut Port) di sini disasar mengendalikan tujuh juta tan metrik kargo apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Projek tersebut yang diyakini menjadi pemangkin dalam memperluaskan potensi Lumut sebagai pengendali terminal kargo pukal paling efisien di Asia Tenggara, mampu mencipta kira-kira 500 peluang pekerjaan serta membuka rangkaian operasi pembekal dan perniagaan dalam industri maritim.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan LMT2 akan dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti dalam pengendalian kargo mineral pukal bagi memenuhi permintaan global yang tinggi, secara tidak langsung merangsang pertumbuhan industri hiliran berasaskan mineral di Perak.

“LMT2 dijangka mula beroperasi pada Ogos tahun depan dan mampu membenarkan kapal seberat 50,000 tan berlabuh berikutan kedalaman airnya 12 meter,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah LMT2 di Batu Undan, Segari, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lumut Port, Datuk Azian Osman; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul.

Menurut Saarani, LMT2 akan mengendalikan muatan berasaskan mineral seperti batu kapur serta pasir silika, berbeza dengan LMT1 yang mengendalikan 5.5 juta tan metrik kargo pukal dengan kapal dibenarkan berlabuh 30,000 meter tan berasaskan kedalaman 10 meter air.

Beliau menjelaskan pembinaan LMT2 di kawasan seluas 50 hektar itu selaras dengan rancangan perniagaan strategik 10 tahun Lumut Port melibatkan perbelanjaan RM362 juta untuk tempoh 2016-2026.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM282 juta atau kira-kira 78 peratus daripada kos perbelanjaan diperuntukkan untuk tujuan pembangunan LMT2.

“Apa yang jelas, inisiatif ini dijangka memberikan impak besar terhadap perkembangan ekonomi di kawasan Manjung dan negeri Perak secara keseluruhan dan selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.

Tegas beliau, LMT2 bukan sekadar sebuah fasiliti penghantaran untuk barang import dan eksport, tetapi juga merupakan bukti terhadap keupayaan dan kemahiran tinggi bakat-bakat tempatan, berikutan pembinaannya dilakukan sepenuhnya oleh rakyat tempatan.

Jelasnya, ia merupakan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan bandar Lumut sebagai pusat pertumbuhan yang inklusif dan mampan sejajar dengan pelan aspirasi Perak Sejahtera di bawah Flagship 13 – Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara.

Katanya, projek itu dijangka membentuk bandar-bandar baharu, mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan, memperkembangkan kemahiran, teknologi dan aspek lain yang menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran rakyat di Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×