Kastam Perak sita 28 kenderaan mewah - Utusan Malaysia

Kastam Perak sita 28 kenderaan mewah

KENDERAAN mewah yang disita dalam serbuan di 12 lokasi berasingan di Perak dan Selangor sejak bulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menyita 28 kenderaan mewah pelbagai jenama dalam serbuan di 12 lokasi berasingan di sekitar Perak dan Selangor sejak Januari lalu.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, kenderaan dengan nilai cukai keseluruhan sebanyak RM10.4 juta itu disita kerana dipercayai melanggar syarat pengecualian duti dan cukai.

Katanya, dalam serbuan itu, 11 individu berusia antara 40 hingga 50 tahun yang disyaki pemilik kenderaan dan syarikat ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua kenderaan import itu disita bagi kesalahan ketidakpatuhan dan pelanggaran syarat atas pengecualian duti dan cukai.

“Sepatutnya, kenderaan itu disimpan di dalam gudang berlesen yang diluluskan tapi kita rampas di tempat lain.

“Sebuah lagi kenderaan yang disita mempunyai nombor berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pemilik kenderaan dan syarikat terlibat memiliki permit import (AP) atau tidak.

“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d), Seksyen 133 (1)(a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×