PETALING JAYA: Selangor FC akan mengumumkan ketua jurulatih baharu pada bulan ini dengan empat calon telah dikenal pasti dan sedang dalam penilaian pihak pengurusan kelab.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr, Johan Kamal Hamidon berkata. pihaknya akan memilih jurulatih terbaik bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.
Ketika ditanya nama empat calon jurulatih berkenaan, Johan enggan mendedahkan, namun mengakui jurulatih interim, Nidzam Jamil turut termasuk dalam senarai tersebut.
Johan turut memberi jaminan bahawa jurulatih yang akan dipilih adalah yang terbaik memandangkan Selangor bakal beraksi di Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) musim ini.
“Buat masa ini ada empat calon yang sedang dinilai. Satu tempatan dan tiga daripada luar negara dan tiga ini belum memiliki pengalaman membawa pasukan di Liga Super.
“Musim ini merupakan kempen sangat besar kerana bermain di ACL 2, jadi kita nak pastikan kita pertimbangkan semua pilihan-pilihan yang ada dan tidak terburu-buru membuat keputusan.
“Setiap calon ada kelebihan tersendiri dan akan diteliti sebaik mungkin sebelum kelab membuat keputusan dalam masa terdekat seminggu, dua lagi dalam bulan Mac juga,” katanya kepada Utusan Malaysia
Terdahulu, Cheng Hoe melepaskan jawatan secara mengejut dan memilih kelab dari Thailand, Police Tero sebagai destinasi baharu.
Posisi kosong ditinggalkan Cheng Hoe telah menimbulkan spekulasi dengan beberapa nama besar dikaitkan untuk membimbing The Red Giants.
Antara nama yang hangat menjadi sebutan termasuk bekas ketua jurulatih Vietnam dan Thailand, Park Hang Seo dan Alexandre Polking.
Kali terakhir Selangor menggunakan khidmat jurulatih luar adalah pada musim 2020 hingga 2022 iaitu melantik pengendali dari Jerman, Michael Feichtenbeiner dan Karsten Neitzel.
Kedua-dua jurulatih dari Jerman itu gagal memberi impak besar kepada pasukan hinggalah kedatangan Cheng Hoe kembali meletakkan Selangor di landasan sebenar dengan berjaya menjadi naib juara Liga Super musim lalu.
Malah pada musim 2022, Cheng Hoe hampir menghadiahkan trofi Piala Malaysia sebelum tumbang 1-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di final.-UTUSAN










