KEB 2024: Ubah mentaliti bumiputera hanya makan gaji

KEB 2024: Ubah mentaliti bumiputera hanya makan gaji

WAHID OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Masyarakat bumiputera di negara ini perlu mengubah minda mereka dengan tidak lagi terlalu fokus kepada peluang kerjaya ‘makan gaji’ dalam sektor kerajaan.

Demikian syor Pengerusi Sesi Libat Penguasaan Korporat dan Penciptaan Kekayaan, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada sidang pleno Kongres Ekonomi Bumiputera, di sini hari ini.

“Jika dilihat penguasaan ekonomi dan pemilikan hartanah bumiputera yang masih rendah, puncanya pendekatan sejak sekian lama terlalu bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Beliau merujuk sumbangan sektor awam kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun lepas yang hanya 17.8 peratus berbanding swasta pula telah mencecah 76.2 peratus.

Jurang amat besar itu ujarnya, menunjukkan kekayaan sebenar negara ini banyak dijana daripada pihak swasta tetapi malangnya sebahagian besar dikuasai bukan bumiputera.

Situasi buruk tersebut kata beliau, jelas dapat dilihat menerusi kadar pemilikan ekuiti bagi saham tersenarai di Bursa Malaysia yang amat rendah iaitu hanya 18.4 peratus ketika ini.

Mengulas lanjut pada slot yang dihoskan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu, Abdul Wahid bertanya, hingga bilakah kena perlu bergantung.

“Jika berterusan minda sebegini, sampai bila-bila pun bumiputera tetap jauh ketinggalan dan sudah tiba masa kerajaan tukar pendekatan sebelum keadaan jadi terlewat,” katanya.

Pada masa sama tambahnya, dasar-dasar yang pro-bumiputera seperti insentif dana dan kontrak kerajaan juga perlu dikuatkuasakan untuk bantuan kepada usahawan berpotensi.

Walau bagaimanapun, polisi sedemikian itu perlu berasaskan merit iaitu keutamaan atas faktor kelayakan dan kesesuaian, bukannya sekadar pemberian diserahkan begitu sahaja.

Beliau memberikan contoh diskaun pembelian rumah banglo bagi harga melebihi RM2 juta yang disifatkannya sebagai tidak patut dan mungkin mengguriskan bukan bumiputera.

Sebaliknya, potongan harga berkenaan kata Abdul Wahid, sewajarnya disumbangkan kepada tabung perumahan mampu milik untuk bumiputera yang masih tiada lagi kediaman.

“Isu sebegini mungkin tampak kecil, tetapi jika kita bijak urus soal dasar yang sesuai untuk kepentingan bumiputera, maka golongan bukan bumiputera pun tidak marah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×