20 mangsa penipuan pakej umrah buat laporan polis - Utusan Malaysia

20 mangsa penipuan pakej umrah buat laporan polis

SEBAHAGIAN mangsa penipuan pakej umrah yang membuat laporan polis di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini.UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 20 individu yang menjadi mangsa kepada penipuan pakej umrah hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa, di sini.

Kesemua mangsa membuat laporan itu selepas menyedari tertipu ekoran tindakan syarikat pengendali yang memberi pelbagai alasan termasuk pembatalan penerbangan disaat akhir sebelum berlepas ke Mekah.

Seorang mangsa, Haziah Deraman, 60, berkata, mengikut jadual dia bersama enam ahli keluarga yang lain sepatutnya menunaikan umrah pada tahun lalu namun tidak menjadi kenyataan.

“Saya sedih apabila syarikat pengendali umrah itu memberi alasan mereka sedang berdepan masalah dalaman syarikat dan terpaksa menangguhkan penerbangan umrah kami. 

“Pada mulanya mereka berjanji mahu memulangkan semula wang pembayaran untuk pakej umrah yang dibayar secara penuh berjumlah RM54,000 ke dalam akaun peribadi saya. Namun sehingga hari saya tidak menerimanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Nor Mohd, 60, memberitahu, laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan keatas pelaku.

Katanya, sehingga hari ini dia yang sudah membuat bayaran penuh pakej  RM55,960 untuk isteri dan dua anak masih belum menerima pulangan sebagaimana dijanjikan oleh pengendali perkhidmatan.

Sementara itu, Rosmawati Rosli, 53, berkata dia yang sepatutnya menunaikan umrah pada bulan Mei tahun lalu dengan bayaran pakej RM 52,000. 

Katanya, pihak syarikat memberitahu penerbangan ke tanah suci itu ditunda hingga Ogos namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diberikan.

“Selain laporan polis, kami (mangsa) membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×