KEB 2024: Beri lesen percuma jika gagal hapus peniaga asing

KEB 2024: Beri lesen percuma jika gagal hapus peniaga asing haram

WARGA asing yang berkerja sebagai pembantu peniaga di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini wajar memberikan lesen secara percuma jika gagal menghapuskan peniaga warga asing haram di tempat mereka.

Begitulah cabaran dilontarkan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman yang kecewa dengan kehadiran golongan tersebut.

Ketika berucap sebagai antara panel slot Diskusi Madani 4 bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, beliau mendakwa situasi kini memang berleluasa tidak terkawal.

“Justeru saya mahu agar PBT sepatutnya bagi sahaja lesen perniagaan kepada kami ini tanpa ada bayaran langsung sebab anda terbukti gagal melaksanakan tugas,” katanya menerusi slot bertemakan Peluang Meningkatkan Skala Usahawan Mikro dan Kecil dihoskan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Junady Nawawi.

Permintaan bersahaja beliau yang juga disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendapat tepukan cukup gemuruh daripada hadirin di dewan berkenaan.

Ketika ini terdapat sejumlah 155 PBT di seluruh Malaysia dengan 102 daripadanya berada di Semenanjung serta diletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengulas lanjut, Rosli menambah, pada waktu ini dianggarkannya terdapat lebih 1.8 juta orang peniaga mikro dan kecil di negara ini yang meliputi pelbagai latar belakang bangsa.

“Ramai mengadu kepada saya termasuk kalangan peniaga bukan bumiputera mengenai isu keberadaan warga asing buka bisnes dan menguasai habis sesuatu kawasan,” kata beliau.

Walau bagaimanapun PBT ujarnya, hanya fokus melihat kesalahan peniaga tempatan dengan dikenakan pelbagai tindakan penguatkuasaan tegas tetapi warga asing dibiarkan.

Padahal jelasnya, peniaga bukan rakyat sendiri itu memang terang berniaga tanpa lesen dan bebas melanggar banyak peraturan kerana tahu PBT tidak berani berbuat apa-apa.

Sedangkan katanya, peniaga tempatan perlu membayar banyak caj dikenakan PBT selain ada komitmen pelbagai hutang ansuran rumah, kenderaan selain bagi menyara keluarga.

Situasi ini pula jelas tambah Rosli, tidak dirasai peniaga asing yang tiada keperluan bayar bermacam-macam perkara termasuk cukai korporat, lesen premis dan zakat perniagaan.

“Bayangkan mereka tidak perlu pening kepala fikir malah boleh pun tinggal sesak dalam rumah kecil dan makan beramai-ramai dengan bayar sedikit secara berkongsi,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengesyorkan PBT meletakkan pegawai yang ada jiwa ihsan kepada peniaga kecil di jabatan berkaitan agar memahami nasib kebajikan golongan itu.

Langkah ini katanya, membolehkan individu itu berfikir membela mereka termasuk untuk penempatan peniaga di lokasi strategik yang menguntungkan dari segi jangka panjang.

Apa yang berlaku pada ketika ini ujar beliau, amat menyedihkan apabila pegawai di PBT itu memindahkan mereka di tempat ‘mati’ seolah-olah mahu membunuh peniaga tanpa sedar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×