10.1 juta kanak-kanak, warga emas terdedah dehidras

Cuaca panas: 10.1 juta kanak-kanak, warga emas terdedah dehidrasi

PEKERJA pembersihan meneguk minuman ketika berehat selepas membersihkan daun-daun kering yang banyak gugur akibat cuaca panas di Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 10.1 juta kanak-kanak dan warga emas terdedah kepada dehidrasi susulan cuaca panas yang sedang melanda negara terutama bagi mereka yang berada di utara semenanjung Malaysia.

Dehidrasi terjadi apabila badan tidak mempunyai banyak air yang diperlukan sehingga menyebabkan tubuh tidak dapat berfungsi dengan baik.

Malah, mereka yang berusia bawah lima tahun dan 60 tahun dan ke atas lebih terkesan sekiranya mereka kekurangan nutrisi dan mempunyai penyakit sampingan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, tidak dinafikan dehidrasi berisiko kepada semua individu tanpa mengira usia.

Bagaimanapun, menurut beliau, kedua-dua golongan itu lebih cenderung mengalami dehidrasi disebabkan beberapa faktor.

“Kanak-kanak tidak sedar apa yang jadi pada badan mereka. Memang budak-budak boleh rasa haus, tetapi kalau teruja buat satu perkara, maka lupa minum air.

“Orang tua pula bila dehidrasi mereka tidak rasa haus sebab sistem deria mereka sudah tidak sama banding orang muda, jadi warga emas kena selalu minum air,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Setakat ini, Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba selepas mencatatkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 40 darjah Celsius sekurangnya-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Pada masa sama, lebih 20 kawasan termasuk di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak turut mencatatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Dr. Jamalludin berkata, semua peringkat umur dinasihatkan mengambil air secukupnya dengan meminum air kosong sekurang-kurangnya 1.5 liter sehari.

Katanya, selain dehidrasi yang teruk, cuaca panas boleh menyebabkan strok haba yang turut menyebabkan kegagalan organ dalaman.

Justeru, beliau pada masa sama menyarankan masyarakat mengurangkan tempoh dedahan kepada cuaca panas terutamanya mereka yang bekerja di luar.

“Majikan juga perlu ambil cakna tempoh dedahan mereka dan sediakan perlindungan seperti topi besar mahupun kanopi serta pastikan nasihat pekerja mereka sentiasa ambil air kosong,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Kesihatan ketika dihubungi berkata, mereka cakna dengan cuaca panas melampau yang melanda negara dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cuaca panas juga memberi kesan kepada kanak-kanak berumur bawah lima tahun dan warga emas yang lebih 60 tahun sekiranya mereka kekurangan nutrisi dan mempunyai penyakit sampingan.

“Suhu meningkat memburukkan lagi penyakit yang berkait dengan jantung, paru-paru, cerebrovascular (aliran darah di dalam otak) dan penyakit berkaitan kencing manis yang menyebabkan badan sukar untuk meregulasi suhu serta menyebabkan jantung perlu bertugas lebih keras.

“Klinik-klinik perlu peka mengenai isu ini malah majikan dan sekolah juga perlu mengelakkan aktiviti luar yang terlalu lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×