PETALING JAYA: “Setiap orang ada pandangan masing-masing terhadap La Luna. Sebab itu saya tak menghebahkan isu dan beri pandangan peribadi.”
Demikian jawapan pelakon hebat, Shaheizy Sam ketika ditanya berhubung isu filem lakonannya, La Luna yang dikatakan mengetengahkan unsur Islam liberal dan mempermainkan agama.
Jelas Shaheizy, dia mempunyai pendirian tersendiri menerima tawaran filem tersebut dan terbuka untuk meraikan apa sahaja pandangan kerana semua orang punya pendapat berbeza.
“Setiap kita termasuk ustaz dan pendakwah pun ada pandangan yang berbeza. Jadi pandangan siapa yang kita mahu terima? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu niat kita kenapa buat sesuatu perkara.
“Saya tak mahu beri pandangan sebab sudah ada pendirian sendiri mengapa terima tawaran filem itu sebelum ini,” katanya.

Pelakon filem siri pecah panggung, Polis Evo itu ditemui selepas majlis pelancaran program Ramadan Astro di sini, semalam.
Shaheizy menambah, ketika kontroversi berkenaan tercetus, dia berada di Mekah untuk menunaikan umrah namun sempat mendapatkan maklum balas daripada beberapa golongan agamawan mengenai filem lakonan bersam Sharifah Amani itu.
“Ketika saya dia sana, ada juga borak dengan ustaz mengenai filem itu. Ada kalangan mereka sudah tonton, mereka kata okey sahaja.
“Bila bercakap pasal perkara subjektif, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Bagaimana nak kaitkan dengan diri sendiri, agama atau individu lain. Semua itu hak masing-masing dan saya terima.
“Saya tak mahu beri pandangan sebab saya tahu tidak akan diterima oleh orang lain. Jadi, terpulang pada hati bagaimana hendak hukum filem itu,” katanya.-UTUSAN











