Sukma: ‘Perlis ghempuh sampai podium’ - Utusan Malaysia

Sukma: ‘Perlis ghempuh sampai podium’

WAN Zikri Afhtar Ishak menandatangani kanvas sokongan atlet Perlis pada Majlis Penghargaan Atlet Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Berbaki 170 hari menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, atlet-atlet dari negeri ini perlu melipat gandakan latihan dan usaha serta mengukuhkan mental bagi mencipta kejayaan sekali gus mengharumkan nama Perlis di temasya berkenaan.

Pengerusi Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, bagi memastikan kelestarian pembangunan sukan negeri ini, beliau juga percaya nilai semangat cintakan negeri merupakan antara faktor yang amat penting.

Katanya, jati diri anak negeri yang disemai di dalam diri setiap atlet akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada mereka membuat sehabis baik demi maruah bendera kuning biru ini.

“Saya rasa kita tidak mempunyai masa yang panjang dan berada di selekoh terakhir sebelum garisan penamat. Bagi mereka yang mengambil bahagian dalam temasya Sukma dan Para Sukma, lipat gandakan latihan anda, kukuhkan mental dan kentalkan jiwa anda.

“Jangan pernah berputus asa dan menyerah kalah sebelum pertandingan dimulakan. Ghempuh sampai podium,” katanya berucap pada Majlis Penghargaan Atlet Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan di sini semalam.

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri meraikan 225 atlet Perlis daripada 19 jenis sukan berbeza yang berjaya menaiki podium di kejohanan kebangsaan pada tahun lalu.

Selain itu, empat daripada enam atlet Perlis yang menyertai Kejohanan Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 turut diberikan insentif daripada kerajaan negeri susulan kejayaan mereka membawa pulang pingat buat negara.

Tambah Wan Zikri, pada masa ini, beliau telah meninjau prestasi atlet-atlet khususnya dalam persiapan ke Sukma Sarawak 2024 dan daripada pemerhatian tersebut sebenarnya sudah boleh menilai dan meletakan sasaran kepada mereka yang mempunyai prospek.

Bagaimanapun katanya, beliau ingin memberi fokus kepada menanamkan semangat jati diri anak negeri kepada semua atlet terlebih dahulu.

“Sekiranya perkara ini dapat dijiwai dengan sepenuh raga, saya yakin dan percaya pingat emas yang diidamkan akan hadir secara automatik. Kalau kita hanya letakkan fokus bagi sasaran pingat tanpa tanamkan semangat cintakan negeri, atlet-atlet ini hanya bermain semata-mata untuk pingat dan tiada jati diri semangat kenegerian.

“Kekuatan mental, kepakaran kemahiran dan teknikal serta dilengkapi dengan jiwa negeri yang membara pasti akan memberi impak yang postif dalam sukan yang ditandingi,” katanya.

Sementara itu, Wan Zikri berkata, majlis penghargaan atlet yang diadakan julung kali ini berbeza dari negeri-negeri yang lain yang mana kerajaan negeri meraikan kesemua atlet yang mendapat tempat podium di dalam setiap kejohanan sukan yang disertai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN