Cuaca panas berterusan sehingga penghujung Mac

Cuaca panas berterusan sehingga penghujung Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.

Dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat terutama di kawasan utara selain Kedah dan Perlis iaitu Perak, Pahang dan Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Me­teorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca panas yang dialami ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun setiap Februari hingga Mei.

“Setakat ini, suhu tertinggi dicatatkan oleh stesen me­teo­rologi utama MetMalaysia adalah 36.9 darjah Celcius, iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu.

“Berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang me­landa dunia ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tem­pat,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, 19 kawasan di seluruh negara merekodkan amaran cuaca panas Tahap 1 atau berjaga-jaga pada hari ini.

MetMalaysia dalam hantarannya mengeluarkan amaran gelombang haba atau cuaca panas Tahap 2 di daerah Pokok Sena, Kedah dengan suhu ha­rian boleh mencecah 40 darjah Celsius.

Pengerusi Suruhanjaya Per­khidmatan Air (SPAN), Charles Anthony Santiago berkata, ne­geri yang mempunyai paras empangan dalam situasi ber­jaga-jaga adalah Empangan Sembrong Barat di Johor yang mencatat paras 35.82 peratus.

“Buat masa ini kesemua empangan masih dalam kea­daan baik dan terkawal kecuali Empangan Sembrong Barat, Johor tetapi bekalan air masih berada dalam keadaan terkawal.

“Paras air di Empangan Sembrong Barat yang berada pada paras ini merupakan paras yang telah ditetapkan oleh badan kawal selia air mentah negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN