PADANG BESAR: Hasrat seorang pengusaha harumanis untuk menuai hasil musim ini tidak kesampaian apabila 40 pokok mempelam yang sudah mengeluarkan buah di kebunnya di Kampung Semadong, Beseri di sini, hangus terbakar.
Punca kebakaran pokok itu tidak diketahui namun dipercayai akibat cuaca panas melampau yang bermula daripada kebakaran hutan berhampiran kebun tersebut.
Berikutan itu, pengusaha berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM100,000 melibatkan kemusnahan pokok, sistem pengairan dan tanaman lain di kebun tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Mahfudz Othman, 52, berkata, dia mengusahakan tanaman harumanis berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan sudah bersedia meraih hasil dijadual pertengahan bulan depan.
Katanya, ketika kebakaran tersebut, dia tidak berada di kebun kerana menghadiri kenduri sebelum dimaklumkan oleh rakannya daripada kebun berhampiran mengenai kejadian itu.
Ujarnya, ketika dia tiba di kebun selepas itu, api sudah marak memusnahkan pokok dan buah harumanis berkenaan.
“Sebelum ini, hutan kira-kira 100 meter dari kebun juga terbakar dipercayai akibat cuaca panas melampau ketika ini. Cuaca ketika ini cukup panas khususnya di kawasan ini yang mencecah sehingga 38 darjah celsius.
“Sepatutnya sudah boleh tuai namun rezeki tidak memihak kepada saya apabila pokok mempelam harumanis yang diusahakan selama ini musnah dalam kebakaran,” katanya.
Tambah Irfan, musim lepas hasil harumanis di kebunnya itu tidak banyak disebabkan hujan manakala tahun ini pula musnah akibat kebakaran berikutan cuaca panas.
“Saya pun tidak tahu punca kebakaran, mungkin disebabkan cuaca panas ketika ini kerana hutan berhampiran juga terbakar. Saya reda dengan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad menasihatkan orang ramai mengelak kebakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas melampau ketika ini.
“Kebakaran banyak ketika ini, tanaman-tanaman harumanis juga ada kes terbakar. Petani kena sentiasa berjaga-jaga dalam musim panas ini,” katanya.
Perlis kini berada pada tahap berjaga-jaga susulan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Malah, Perlis juga sudah mencatatkan bilangan hari tanpa hujan di Stesen Meteorologi Pertanian Chuping selama 43 hari dengan suhu boleh mencecah sehingga 38 darjah celsius. – UTUSAN










