SPRINGFIELD: Hakim mahkamah di Illinois, Amerika Syarikat (AS) menyekat Donald Trump daripada bertanding sebagai calon Parti Republikan pada pemilihan peringkat primer presiden di negeri itu.
Bagaimanapun, Hakim Daerah Cook, Tracie Porter menangguhkan keputusannya daripada dikuatkuasakan segera.
Bekas Presiden AS itu dihalang daripada bertanding disebabkan peranannya yang membawa kepada rusuhan Capitol AS pada tahun 2021.
Hakim Daerah Cook, Tracie Porter memihak kepada pengundi Illinois yang berhujah bahawa Trump harus dilucutkan kelayakan bertanding pada pemilihan primer presiden pada 19 Mac dan Pilihan Raya Umum AS pada 5 November kerana melanggar klausa anti-pemberontakan dalam Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS.
Keputusan akhir kes Illinois dan kes serupa kemungkinan akan diputuskan oleh Mahkamah Agung AS yang mendengar hujah berkaitan dengan kelayakan bertanding Trump pada 8 Februari.
Porter bertindak menangguhkan keputusannya kerana menjangkakan bekas presiden itu akan membuat rayuan di mahkamah rayuan Illinois dan kemungkinan mendapat keputusan dari Mahkamah Agung AS.
Kumpulan advokasi Free Speech for People menerusi satu kenyataan menyambut baik keputusan itu dengan menyifatkannya sebagai `kemenangan bersejarah’.
Sementara itu, jurucakap kempen Trump pula berpandangan ia merupakan keputusan tidak berperlembagaan yang mana pihaknya akan mengemukakan rayuan dengan segera.
Sebelum ini, Maine dan Colorado melarang Trump daripada bertanding merebut jawatan Presiden dalam pilihan raya yang dijadualkan pada November depan.
Keputusan itu dibuat selepas menentukan Trump hilang kelayakan bertanding di bawah Seksyen 3 Pindaan ke-14 Perlembagaan.
Bagaimanapun, kedua-dua keputusan itu ditangguhkan sementara ketika Trump membuat rayuan. – REUTERS











