SAUDARA PENGARANG,
BIDANG kuasa perundangan Persekutuan dan negeri tertakluk kepada bidang kuasa yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.
Maka Parlimen mahupun Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui bidang kuasa masing-masing. Perkara ini telah membawa kepada titik tolak permohonan cabaran undang-undang terhadap bidang kuasa kedua-duanya oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashi dengan merujuk kepada keputusan kes Iki Putra Mubarak lwn Kerajaan Negeri Selangor.
Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan membenarkan cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh Iki Putra sekali gus memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak berperlembagaan dan jenayah liwat adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan.
Harus juga difahami bahawa sejak 1988, terdapat perlindungan kepada ahkamah syariah untuk melaksanakan hukum-hakam bagi orang Islam melalui Artikel 121 (A) yang menghalang mahkamah sivil daripada mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah.
Namun begitu, walaupun negeri mempunyai bidang kuasa yang luas untuk menggubal undang-undang syariah mengikut prinsip dan panduan Islam, bidang kuasa ini secara teknikalnya adalah bertindih dengan had yang dikenakan oleh Persekutuan untuk tidak menggubal undang-undang yang terdapat di dalam Senarai Persekutuan atau disebut sebagai preclusion clause.
Dengan kata lain, terdapat konflik kepentingan di antara mahkamah syariah dan Mahkamah Persekutuan.
Cadangan untuk menyeragamkan penentuan batas hukuman kesalahan jenayah di Malaysia adalah tidak rasional dan tidak adil kerana setiap kesalahan jenayah yang didakwa di Mahkamah Persekutuan mempunyai nilai kesalahan yang berbeza antara orang Islam dan bukan Islam.
Walaubagaimapaun, hukuman jenayah di mahkamah syariah tidak seberat hukuman di Mahkamah Persekutuan. Namun, yang perlu dilakukan bukanlah dengan menyeragamkan hukuman tersebut kerana prosedur kehakiman, beban bukti dan hujah yang diguna pakai di Mahkamah Persekutuan adalah lebih meraikan pelbagai agama sementara mahkamah syariah adalah khusus berpandukan agama Islam.
Dalam hal ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendapat perundangan syariah dan mahkamah syariah perlu diperkasakan demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Malaysia khususnya supaya Islam dapat dijaga dengan lebih baik dan bagi mengelakkan kelalaian dalam mengamalkan hukum-hukum dan tatacara kehidupan Islam.
Oleh itu, pemerkasaan mahkamah syariah perlu dilaksanakan antaranya dengan menaikkan intensiti hukuman jenayah sebagaimana yang pernah diusulkan oleh Menteri Undang-Undang dan Menteri Agama semasa kerajaan sebelum ini melalui Rang Undang-Undang 355 (RUU355).
Maka, GAMIS mendesak kerajaan Persekutuan untuk mengambil tanggungjawab ini dengan memastikan konflik kepentingan bagi kedua-dua Mahkamah Persekutuan dan Negeri diselesaikan segera demi kepentingan umat Islam dan orang awam di Malaysia selaras dengan fokus kelima dalam teras ketiga Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) iaitu Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Islam.
GAMIS mengharapkan agar masyarakat awam terutamanya mahasiswa Islam semakin celik dengan dengan isu perundangan umat Islam dan perundangan Malaysia kerana hakikatnya setiap undang-undang yang dibuat oleh manusia termasuk Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Syariah Negeri yang ada pada hari ini ada kelemahannya dan ada ruang untuk ditambah baik dari semasa ke semasa bermodelkan kepada sumber perundangan Islam.-UTUSAN
WAN MUHAMMAD ARIF WAN BAZLI FARIZ
Bekas Presiden GAMIS










