DARA, Teja, Puspita, Jentayu, Ratna, Cendana, Kesuma, Anum, Seroja dan Anggun.
Nama-nama di atas bukan merujuk kepada mana-mana wanita, sebaliknya merupakan antara 31 helaian dalam koleksi raya mewah keluaran pereka duo, Rizman Ruzaini.
Elemen klasik jelas terlihat pada potongan baju kurung, kebaya dan kurung Kedah yang ditampilkan.
Wan Ruzaini Wan Jamil berkata, elemen itu merupakan DNA mereka sejak sekian lama dan kekal diteruskan tanpa terikut-ikut dengan trend semasa.
Ia bukan sahaja dapat menyerlahkan keanggunan seseorang, bahkan bersifat malar segar dan relevan untuk digunakan sehingga 10 atau 20 tahun akan datang.
“Inspirasi untuk koleksi kali ini adalah pada naga Tasik Cini, Seri Gumum dan merupakan kesinambungan daripada koleksi musim bunga/panas 2024.
“Contohnya, penggunaan cape yang diterjemahkan ke dalam bentuk Melayu menerusi baju kurung Anggun,” katanya ketika ditemui pada sesi previu baru-baru ini.
Katanya, tarikan koleksi mewah itu tentunya terletak pada perincian batuan Swarovski dan labuci mempesonakan yang dilhamkan daripada sisik naga.
Pemilihan warna pula meliputi biru, hijau, jingga gelap, perang, kelabu dan rona signatur Rizman Ruzaini, hitam pekat.
“Seperti kita tahu, lapisan tasik terdiri daripada warna cerah hingga ke gelap.
“Warna-warna ini dapat menitipkan elemen ketenangan dan sesuai untuk gaya anggun dan mempesona si pemakai ketika menyambut lebaran bersama insan tersayang mahupun berkunjung ke rumah terbuka,” katanya.
Selain couture, jenama ini turut menampilkan koleksi kapsul raya yang lebih bersifat effortless serta ringkas dengan mainan renda dan krep.
Jelas Rizman Nordin, ia direka untuk wanita moden yang mahukan gaya tradisi dengan sentuhan kontemporari.
“Paling penting, ia boleh digayakan lebih daripada sekadar ‘baju raya’,” katanya.
Sempena koleksi raya mewah itu, mereka turut melantik Azira Shafinaz sebagai wajah ilham kerana kejelitaan, bakat dan pencapaian selebriti itu dalam bidang seni sekali gus menjadi lambang wanita moden bercitarasa tinggi.










