Bungkus dadah seakan gula-gula sebelum edar di pusat hiburan

Bungkus dadah seakan gula-gula sebelum edar di pusat hiburan

DADAH-dadah dihancurkan menjadi serbuk sebelum dimasukkan ke dalam pek gula-gula ‘Ironman’ dan ‘Superman’ sebelum dijual dengan harga RM250.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Taktik satu sindiket membungkus dadah seakan gula-gula tumpas selepas seorang lelaki ditahan di sebuah apartmen di Sungei Wei, di sini pada Jumaat lalu.

Dadah-dadah berkenaan dihancurkan menjadi serbuk sebelum dimasukkan ke dalam pek gula-gula ‘Ironman’ dan ‘Superman’ sebelum dijual dengan harga RM250 untuk diedarkan di pusat-pusat hiburan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, penahanan lelaki berusia 26 tahun itu dilakukan pada pukul 10.40 malam.

Turut ditemukan bersama suspek iaitu sebuah kotak mengandungi pelbagai jenis dadah.

“Kita menemukan lima paket plastik lutsinar disyaki mengandungi pil ekstasi, dua paket lutsinar disyaki mengandungi ketamin, 28 keping pil erimin 5, dan 304 paket serbuk ekstasi.

“Turut ditemukan iaitu alat memproses jus dadah antaranya lima alat pengisar, dua gunting, dua penimbang digital, enam plastik lutsinar mengandungi plastik kosong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket berkenaan akan mengisarkan beberapa jenis dadah sebelum membungkusnya di dalam plastik seberat 105 gram (g) dan dijual pada harga RM250 di sekitar pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Keseluruhan rampasan membabitkan serbuk ekstasi seberat 5 kilogram, pil ekstasi (405g), ketamin (73g), pil erimin 5 (80g) bernilai kira-kira RM406,309. 

“Jumlah keseluruhan sitaan pula bernilai RM2,820 membabitkan wang tunai dan sebuah tablet,”jelasnya.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut didapati positif dadah jenis benzo.

Jelas Shahrulnizam, siasatan lanjut mendapati suspek aktif menjalankan perniagaan tersebut sejak dua tahun lalu.

“Kita (polis) masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas yang bernama Wong Kein Lim, 31.

“Suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu hingga hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×