BUKIT MERTAJAM : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menimbang kemungkinan untuk memperketatkan syarat pengambilan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mengelak daripada berulangnya tragedi seorang anggota mereka yang lemas selepas terjatuh ketika sedang menyelenggara bot minggu lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPBM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, langkah itu perlu bagi mewujudkan kadar kompetensi yang lebih tinggi dalam kalangan anggota atau calon yang terlibat.
“Jadi, SOP (prosedur operasi standard) yang akan ditambah baik juga mungkin dari segi fasiliti, ‘training’ (latihan), pengambilan asas (anggota) terutamanya bagi yang menganggotai PPDA ini hendaklah melepasi syarat-syarat tertentu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa menyantuni kelima-lima anak kepada anggota bomba yang lemas semasa sedang menyelenggara bot minggu lepas iaitu Mohd. Izwan Illias, 42, membeli pakaian serta kelengkapan sekolah di Pusat Pakaian Hari-Hari di Bandar Perda, di sini.
Mengulas mengenai siasatan kes anggota bomba lemas itu pula katanya, siasatan secara dalaman berhubung insiden itu telah bermula dan pihaknya menjangkakan ia akan selesai dalam tempoh sebulan untuk satu siasatan penuh.
“Hasil daripada siasatan ini nanti, kami akan mengambil dapatannya untuk proses penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi PPDA dan lain-lain,” ujar beliau.
Tambahnya, kejadian yang menimpa Mohd. Izwan itu adalah yang pertama melibatkan bot di pangkalan marin.
“Dulu ada kejadian (seperti) di Puchong (Selangor), Melaka dan sebagainya tetapi itu semua masa operasi. Maka, (rentetan dari kejadian ini) kita kena lihat dari semua aspek dan tingkatkan lagi (SOP),” katanya.-UTUSAN











