PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka membangunkan satu set dasar berkaitan pemerkasaan bumiputera sekitar Mei atau Jun ini hasil daripada proses libat urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ketika ini, proses libat urus telah berlaku yang diketuai wakil bukan kerajaan dan pandangan-pandangan daripada pihak kerajaan.
“Set dasar itu akan diharap dapat menghasilkan kumpulan kelas bumiputera yang positif, progresif dan inovatif, iaitu sejajar dengan tema KEB 2024,” katanya ketika ditemui pada KEB 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, kerajaan berhasrat menyatukan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera untuk bersama-sama bersaing di peringkat global.
“Jadi KEB pada kali ini memang dirancang ke arah itu. Saya akan tungggu reaksi. Akan ada (reaksi) yang bersetuju akan ada yang tak bersetuju,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, KEB 2024 diharap dapat memperbaiki kelemahan dan kepincangan sebelum ini, namun ia bukan pengganti kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Katanya, tujuan utama kongres itu diadakan bertujuan mengatur semula penyertaan bumiputera dalam kegiatan ekonomi negara.
“KEB ini untuk kita ukur semula kejayaan juga menilai di mana kita gagal, apa kelemahan kita dan apa yang perlu kita baiki.
“Ini untuk transformasi mengikut keadaan semasa ini juga merupakan satu kaedah di mana kita nak membesarkan kek ekonomi negara,” katanya.
KEB 2024 yang bermula hari ini hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) meliputi 10 kumpulan. – UTUSAN











