MELAKA: Lapan syarikat di Melaka dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan berkaitan buruh dalam Operasi Gegar (Op Gegar) yang dijalankan selama dua hari bermula 27 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, Naziyah Said berkata, operasi yang berjalan serentak di seluruh negara itu memfokuskan kepada pematuhan majikan terhadap Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Kata beliau, Op Gegar melibatkan 27 penguat kuasa daripada pelbagai agensi telah memeriksa 115 pekerja tempatan dan 221 pekerja asing terdiri daripada warga Bangladesh, China dan Nepal.
“Lima syarikat sektor pembuatan dan tiga syarikat pembinaan di sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin telah diperiksa. Tujuh majikan dikesan menyediakan penginapan pekerja tanpa perakuan manakala mengabaikan faktor kebersihan (empat) dan lewat membayar gaji (satu).
“Pemeriksaan juga mendapati penginapan disediakan majikan adalah daif. Rakaman percakapan telah diambil dan kertas siasatan akan dibuka bagi pelanggaran serta kesalahan yang dikesan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Tambah Naziyah, tiga majikan turut dikompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah atas kesalahan pembiakan jentik-jentik.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan kompaun bagi kesalahan tiada lesen penginapan dan pekerja serta kebersihan tandas dan dapur terhadap tiga majikan.
“Operasi ini penting bukan sahaja untuk melihat kepatuhan majikan terhadap undang-undang tetapi juga menjaga kebajikan pekerja,” ujarnya. – UTUSAN










