JPJ Melaka sita 125 kenderaan dipandu warga asing

JPJ Melaka sita 125 kenderaan dipandu warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 125 kenderaan yang didapati disalah guna warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) selama sebulan sempena Tahun Baharu Cina, berakhir malam tadi.

Operasi bermula 1 Februari itu menyaksikan kenderaan disita membabitkan 100 buah motosikal, 21 kereta dan empat lori perdagangan yang turut diubah suai.

Pengarah JPJ Melaka, Mohd. Firdaus Shariff berkata, kenderaan terlibat didapati hanya memiliki lesen persendirian tetapi digunakan bagi tujuan perniagaan tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).

Menurutnya, antara kesalahan dikesan melibatkan warga asing adalah tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL), GDL, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans dan salah guna LKM dijadikan kenderaan perkhidmatan barangan.

Beliau berkata, sitaan itu melibatkan 101 warga asing terdiri daripada 27 warga Indonesia, Myanmar (23), Rohingya (23), Pakistan (22) dan India (6).

“Salah guna LKM ini berkaitan dengan penggunaan kenderaan persendirian bagi tujuan komersial. Kita dapati penggunaan kenderaan seperti motosikal dijadikan roda tiga dan juga kereta dijadikan kenderaan mengangkut barangan seperti mesin rumput dan sebagainya.

“Hasil siasatan kita dapati. sebahagian kenderaan itu adalah milik persendirian dan disewa daripada penduduk juga tidak mempunyai perlindungan insurans,” katanya dalam sidang akhbar di Jambatan Sultan Abdul Aziz di sini, semalam.

Operasi itu melibatkan 55 pegawai dan anggota bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Tambah Mohd. Firdaus, tindakan warga asing menggunakan kenderaan tanpa GDL disifatkan sebagai merugikan hasil negara.

Jelasnya, tindakan menyita kenderaan diambil di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×