Penganggur mengaku salah seret anjing guna rantai

Penganggur mengaku salah seret anjing guna rantai

TAN CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang bekas penjaja makanan yang kini menganggur dipenjara satu hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mendera seekor anjing dengan menyeret haiwan itu menggunakan rantai, November tahun lepas.

Tertuduh, Tan Chee Keong, 45, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara tidak wajar melakukan perbuatan yang menyebabkan kesakitan iaitu menyeret seekor anjing betina baka mongrel berwarna coklat di permukaan lantai menggunakan seutas rantai sepanjang 182 sentimeter (cm) dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha LC.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.06 tengah malam pada 21 November 2023 di Jalan Sukun Indah 1, Taman Sukun Indah, Bukit Mertajam.

Sehubungan itu, dia telah didakwa melakukan satu kesalahan di bawah subseksyen 44(1)(d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 [Akta A1452] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 44(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh pula diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi.

SEORANG kakitangan JPV Pulau Pinang memegang anjing betina yang dipercayai menjadi mangsa dera ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Terdahulu, ketika sesi prosiding, Anas meminta agar hukuman terhadap tertuduh diringankan kerana lelaki tersebut tidak lagi bekerja sejak dua bulan lalu selain mempunyai seorang isteri yang lumpuh dan anak yang masih bersekolah rendah.

Jelas Anas, tertuduh juga telah insaf di atas perbuatannya itu selain kesalahan tersebut kali pertama dilakukannya setakat ini.

Bagaimanapun, Roziman berharap agar hukuman yang setimpal diberikan terhadap tertuduh kerana perbuatan menyeksa binatang itu tidak boleh dianggap ringan.

Mohd. Harith kemudian memerintahkan supaya tertuduh dipenjara selama satu hari selain didenda sebanyak RM12,000 dan kegagalan membayar denda tersebut akan menyebabkan tertuduh terpaksa menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

Difahamkan, tertuduh bagaimanapun dalam proses untuk membayar denda berkenaan dengan bantuan jiran serta ahli keluarga terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×