KUALA TERENGGANU: Kumpulan Terengganu Inc menyalurkan sebanyak RM11 juta melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negeri itu sepanjang tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, program tersebut telah memberi manfaat kepada sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama dan pemuliharaan alam sekitar di Terengganu.
Menurutnya, antara inisiatif lain yang telah dilaksanakan tahun lalu termasuk sumbangan bantuan banjir, sokongan kewangan kepada ibu tunggal di lapan daerah, bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak serta bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Palestin.
“Terengganu Inc juga turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang melalui biasiswa Yayasan Terengganu-TI Young Talent Scholarship untuk pelajar dari keluarga B40.
“Penajaan sukan juga turut diberi kepada Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan pelumba motosikal muda negara, Hakim Danish Ramli.
“Kumpulan akan tetap teguh dalam misinya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha CSR yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sempena program ‘Terengganu Inc Back To School 2024’ yang dianjurkan bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun 2024, Terengganu Inc telah memulakan inisiatif CSR dalam bidang pendidikan melalui program ‘Back To School’ dengan sumbangan set alat tulis dan pakaian seragam sekolah kepada 30 pelajar yang kurang berkemampuan di Sekolah Kebangsaan Chendering.
“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa sekaligus memastikan murid-murid ini dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan ceria dan selesa,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2006, Terengganu Inc adalah syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri yang berperanan menguruskan aktiviti pelaburan dan komersial melalui anak-anak syarikat Kumpulan.
Dengan matlamat hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc konsisten dalam pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah, pembangunan dan pembinaan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelaburan-pelaburan bukan teras. – UTUSAN










