KUALA LUMPUR: “Maaf, mungkin bukan sekarang. Amelia sibuk penggambaran.”
Berikut respons pengurus Amelia Christie, Sue, berkaitan status terkini hubungan pelakon itu dengan Shaarnaz Ahmad.
Maklum balas tersebut memberi bayangan Amelia belum bersedia memberi kenyataan mengenai khabar angin hubungan cintanya dengan Sharnaaz yang dikatakan sudah berakhir.
Gosip berkenaan timbul selepas kedua pasangan itu dikesan saling tidak lagi berkawan di Instagram.
Sharnaaz yang disoal tentang itu baru-baru ini memaklumkan hubungannya dengan aktres tersebut ketika ini dalam keadaan baik dan tidak mahu menjelaskan apa-apa berkaitan kehidupan peribadinya.
“Kalau yang itu, saya tak nak komen apa-apa. Fokus saya, kerjaya dan anak. Saya dan dia (Amelia) okey sahaja, berhubungan baik.
“Saya tak nak cerita apa-apa. Bila jadi apa-apa, macam ini lah, itulah. Saya pun tak pernah mengiyakan hubungan cinta dengan dia.
“Jadi tak boleh nak cakap putus. Biarlah. Saya pun sudah umur 40 tahun, nak bercerita pasal cinta macam merepek,” ujarnya.
Sharnaaz digosipkan menjalin hubungan cinta dengan Amelia selepas sering tampil bersama dalam majlis tertentu sebelum ini.
Khabar angin itu bertiup kencang selepas Sharnaaz dan Amelia bercuti bersama-sama di Jepun ditemani anaknya, Jebat dan bekas isterinya, Noor Nabila. – UTUSAN










