MELAKA: Reman enam suspek sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai menggunakan Pantai Klebang di sini sebagai transit, disambung selama tujuh hari.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, reman kesemua suspek yang berusia 40 hingga 74 tahun itu disambung bagi membantu siasatan.
“Untuk makluman kesemua (suspek) yang ditahan disambung reman bermula semalam sehingga 4 Mac ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis menumpaskan satu sindiket dadah selepas enam individu termasuk dalangnya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Pahang, Melaka dan Johor pada 21 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 83.45 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM4.02 juta.
Katanya, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan jalan darat bagi menyeludup dadah masuk dari negara jiran di bahagian utara sebelum diedarkan melalui jalan laut ke Indonesia. – UTUSAN








