PUTRAJAYA: Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) menerima sebanyak 1,822 kes tahun lalu berbanding 1,657 kes pada 2022, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Menurut beliau, kebanyakan kes yang diterima oleh mahkamah berkenaan adalah melibatkan pembuangan kerja secara tidak adil iaitu 1,474 kes.
Jelasnya, berdasarkan statistik, sejumlah 5,463 kes dikendalikan MPM pada tahun lalu dengan 2,376 kes telah berjaya diselesaikan.
Katanya, selain pembuangan kerja, antara kes-kes lain yang diterima MPM termasuklah seperti ketidakpatuhan award, perjanjian kolektif dan pertikaian perusahaan.
“Bila cakap pasal reformasi, ia adalah secara berterusan, kita akan sentiasa laksanakan pembaharuan, menaik taraf dan menambah baik dari segi proses (pengadilan), infrastruktur atau dasar undang-undang.
“Minggu lalu, perkara yang dituntut selama bertahun-tahun (tempoh pelantikan pengerusi MPM ditambah), ini penting kerana ia adalah komponen utama dalam mahkamah perusahaan.
“Justeru, dengan penambahbaikan tersebut ia menunjukkan iltizam KSM (Kementerian Sumber Manusia) dan institusi mahkamah itu sendiri,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan MPM di sini hari ini.
Kolokium selama dua hari sehingga esok itu adalah julung kali dianjurkan oleh MPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.
Pada 23 Februari, media melaporkan tempoh pelantikan pengerusi MPM kini ditambah kepada empat tahun berbanding dua tahun sebelum ini.
Steven Sim berkata, langkah itu adalah pembaharuan ke arah jaminan perkhidmatan dan bagi memastikan kelancaran proses mahkamah.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga akan meneliti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) sekiranya memerlukan sebarang penambahbaikan.
“Kita akan lihat keseluruhan akta, bukan hanya komponen operasi mahkamah, kalau perlu, kita kemaskini ikut keperluan semasa,” ujarnya.
Ditanya berhubung kolokium, Steven Sim berkata, antara beberapa saranan yang dibincangkan termasuklah keperluan untuk menambah penterjemah mahkamah serta menaik taraf sistem digital iaitu sistem perakam mahkamah.
“Selain itu, ada juga saranan seperti menambah baik kontrak perkhidmatan bagi pengerusi mahkamah dan isu seperti memperincikan lagi akta perhubungan perusahaan,” katanya. – UTUSAN











