SAUDARA PENGARANG,
SAYA menzahirkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dipercepat dalam tempoh dua bulan sebelum diangkat ke Mesyuarat Kabinet. Beliau tidak mahu penyediaan laporan itu diperlengah lagi kerana kali terakhir disemak adalah 12 tahun lalu.
Input-input daripada pihak kesatuan sekerja seperti skim gaji progresif boleh diambil kira untuk dipertimbangkan.
Sementara itu usaha reformasi penyampaian perkhidmatan awam perlu dipercepat demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.
Mesyuarat-mesyuarat yang diadakan perlu dipendekkan masanya, ia perlu berteras outcome dan impak tinggi kepada rakyat di akar umbi. Majlis-majlis peluncuran rasmi dicadang dibuat seringkas mungkin dengan implikasi kewangan yang minimum.
Kerenah birokrasi perlu dihapus termasuk mengkaji peraturan lapuk bagi mengelakkan kelewatan dan kecacatan dalam sistem penyampaian awam agar lebih telus dan berintegriti.
Program turun padang perlu ditingkatkan supaya ketua perkhidmatan dapat mengesan masalah rakyat secara hands on atau first hand information.
Skim perkhidmatan yang didominasi suatu skim unggul hingga menduduki hierarki tertinggi perlu diperhalusi semula. Begitu juga aspek latihan dan kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan analitik data perlu diperkasa dalam kalangan penjawat awam.
Warga perkhidmatan awam sentiasa menyedari kemampuan kewangan kerajaan dalam mereformasi skim saraan baharu akibat kenaikan kos hidup setelah 12 tahun diabaikan, justeru pendekatan baharu perlu dicari sebagai langkah penjimatan agar tidak berlaku ketirisan sumber kewangan kerajaan, seperti mewajibkan penjawat awam mempunyai polisi insurans hayat serta mewujud skim pelaburan.
Kerajaan dicadang membina kuarters kos rendah di peringkat daerah secara sewa beli bagi memenuhi keperluan penjawat awam yang berkhidmat di daerah dan susun semua kompleks kediaman kakitangan bagi mengurangkan peningkatan kos kehidupan selain memberi kaunseling kepada penjawat awam yang bercerai agar tidak menjejaskan prestasi kerja.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Ipoh, Perak










