Mayat remaja lemas ditemui tersangkut reba pokok - Utusan Malaysia

Mayat remaja lemas ditemui tersangkut reba pokok

ANGGOTA bomba membawa naik mangsa yang ditemukan lemas di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi manda bersama lapan rakan di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, di sini petang semalam ditemukan lemas.

Mayat Muhamad Fakhrullah Mohamad ditemukan tersangkut pada reba pokok-pokok bawah air di lokasi terakhir dia dilihat sebelum lemas.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mayat dijumpai kira-kira pukul 10 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memulakan operasi sejak petang semalam.

“Mayat ditemukan di lokasi sama dia hilang dan tersangkut pada reba dalam air dan dibawa ke Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan mangsa dikhuatiri lemas setelah dipercayai mandi manda bersama beberapa rakannya di sungai terbabit.

Muhamad Fakhrullah yang berasal dari Kampung Sungai Bemban merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Puteri.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, usaha mencari disambung semula pada pukul 8.30 pagi ini sambil dibantu oleh unit K9 dari Sungai Petani.

“Dua ekor anjing pengesan terlibat dalam operasi ini serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang menemukan mangsa selepas kira-kira 20 minit menyelam.

“Kita berterima kasih kepada semua agensi terlibat dan penduduk kampung yang berusaha membantu mencari mangsa sehingga dia dijumpai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×