GEORGE TOWN : Operasi pembenihan awan dijadual dijalankan selama dua hari di Pulau Pinang bermula hari ini dalam usaha mencetuskan hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmananthan berkata, operasi itu diarah dan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jabatan Perdana Menteri dan akan dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Menurut pemberitahuan rasmi daripada Badan Kawal Selia Bekalan Air Pulau Pinang (BKSA), penjadualan dan pelaksanaan operasi pembenihan awan adalah tertakluk kepada keadaan atmosfera dan awan.
“Dalam tempoh 1 Februari hingga hari ini pula, PBAPP hanya merekodkan 45 millimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan di KTA Empangan Teluk Bahang pula sebanyak 71.5 mm hujan,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam terus mengalami penyusutan membimbangkan dengan bacaan merekodkan takungan pada kadar 33.7 peratus.
Menurutnya, pada tahun lalu operasi pembenihan awan dijalankan berturut-turut pada Mei dan Jun menyumbang kepada sejumlah 30.5 mm hujan di KTA Empangan Air Itam.
“Hujan ini membantu memastikan tiada krisis air di Air Itam pada tahun 2023,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pula semakin berkurangan.
“Oleh itu, sebarang jumlah hujan akan berguna kerana kami berusaha untuk mempertahankan rizab air mentah empangan ini sehingga musim hujan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, setakat hari ini, paras sungai Sungai Muda ialah 2.23 meter dan PBAPP sedang mengabstrak air mentah dari sungai ini untuk menyokong pengeluaran air optimum di LRA Sungai Dua.
“Sementara itu, kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing 63.2 peratus dan 100 peratus,” katanya.-UTUSAN










