KUALA LUMPUR: Tan Sri Johari Abdul menarik balik perintah menggantung ahli Parlimen Pendang daripada hadir ke mesyuarat Dewan Rakyat empat hari, selepas sejam menjatuhi hukuman itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat menarik balik larangan itu selepas ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ‘merayu’ supaya Speaker memberi kelonggaran kepada Datuk Awang Solahuddin Hashim.
Awang dikenakan hukuman tersebut selepas lantang membantah keputusan Johari yang membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan perkataan disebut Awang sehingga Johari mengeluarkan perintah menggantung beliau empat hari.
Johari menjelaskan, beliau mendapati Awang seakan-akan mencabarnya.
PEMBANGKANG
“Di antara pemimpin pembangkang yang paling saya hormat adalah Pendang, kawan saya, pegawai saya dahulu, tetapi apabila saya sebut satu perkara, Pendang tarik balik. Oh (Pendang kata) saya tidak akan tarik balik. Kamu kawan saya atau tidak?
“Kamu tidak peduli kerana mulut santan binasa. Anggaplah saya kawan tetapi bila saya mempengerusikan (dewan ini) kena hormat itu kawan aku, dia Speaker. Kalau tidak hancur dewan ini.
“Kalau saya tidak buat begitu (hukum), saya kata tarik balik, Pendang tarik balik…Oh (Pendang kata) aku takkan tarik balik. Kamu tidak boleh macam itu kepada Speaker. Mana-mana orang tidak boleh terima, sebab itu saya bagi empat hari walaupun (Yang Dipertuan) Agong kata 14 hari,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Awang kemudian bersetuju untuk menarik balik kenyataannya termasuk memohon maaf.
Bagaimanapun, sebelum Johari menarik balik hukuman itu, Awang bangkit meminta penjelasan kerana tidak ‘faham’ mengapa hukuman tersebut dikenakan terhadapnya. – UTUSAN










