MARANG: Pemilihan mana-mana pemimpin dalam Pas tidak dipengaruhi unsur politik dinasti atau kekeluargaan, sebaliknya faktor kelayakan memimpin menjadi keutamaan parti itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain ciri-ciri kepemimpinan, penekanan turut diberikan kepada latar belakang ilmu dan pendidikan selain tahap integriti pemimpin itu.
“Anak-beranak atau tidak bukan keutamaan, yang penting keahlian (kelayakan) memimpin dan ciri-ciri kepimpinan.
“Cukup sifat-sifat (pemimpin) bukan sahaja ilmu dan integriti,” kata beliau selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, setiap parti politik di Malaysia mempunyai kecenderungan wakil anak-beranak sejak dahulu lagi.
Dalam susur galur politik Pas pula, jejak langkah Abdul Hadi diikuti dua anaknya iaitu Muhammad Khalil yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan Yusuf (Ketua Dewan Pemuda Pas Marang) selain menantunya, ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamarudin.
Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah menolak dakwaan penglibatan Muhammad Khalil dalam politik disebabkan pengaruhnya.
Katanya, terpulang kepada ahli parti untuk menilai kemampuan ADUN Batu Buruk itu yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Ditanya adakah ahli keluarganya yang lain berpotensi dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abdul Hadi menegaskan, keputusan itu ditentukan oleh parti peringkat Pusat.
“Pemilihan calon bukan hak saya, sebaliknya Pas Pusat yang menentukan. Menantu saya merupakan wakil rakyat dan Exco di Perak,” katanya. – UTUSAN











