PADANG BESAR: Perlis menjadi negeri pertama melantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dengan 343 individu menerima watikah pelantikan pelantikan fasa pertama dalam satu majlis yang berlangsung di sini hari ini.
Selain itu, seramai 339 orang setiausaha JPKKP turut menerima watikah pelantikan tersebut.
Baki seramai 44 pengerusi dan 47 setiausaha JPKKP juga akan dilantik menerusi fasa kedua selepas ini di mana proses saringan dijangka selesai beberapa minggu lagi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, proses pemilihan pengerusi JPKKP mengambil sedikit masa berikutan pelbagai aspek diambil kira sebelum pelantikan dibuat.
Katanya, proses pelantikan berkenaan dibuat atas prinsip setiakawan bersama rakan-rakan komponen dalam kerajaan Perpaduan.
“Setelah kepimpinan parti-parti dalam kerajaan Perpaduan duduk bersama bagi mengenalpasti calon layak, akhirnya kita berjaya menjadi negeri pertama wujudkan lantikan Pengerusi JPKKP ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad.
Utusan Malaysia pada April tahun lalu melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersetuju menjadikan Perlis negeri pertama memulakan pemilihan pengerusi JPKKP dan memberi kebenaran buat setiap Ketua UMNO Bahagian melakukan proses berkenaan.

Dalam pada itu, Rozabil yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kadar elaun ditetapkan bagi Pengerusi JPKKP adalah RM900 sebulan manakala Setiausaha JPKKP pula sebanyak RM300 sebulan.
Kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu, keperluan elaun JPKKP bagi tempoh Januari sehingga Disember tahun ini di Perlis juga adalah berjumlah RM2.46 juta.
“Elaun bagi pengendalian mesyuarat adalah sebanyak RM100 terhad kepada enam kali mesyuarat setahun manakala elaun kehadiran mesyuarat pula sebanyak RM50 terhad kepada enam kali mesyuarat setahun,” katanya.
Tambahnya, setiap Pengerusi JPKKP juga perlu memenuhi indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan dan akan dinilai pada setiap tahun bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Selain menjaga kebajikan penduduk di kawasan mereka, Pengerusi JPKKP ini diharap dapat berfungsi sebagai mata dan telinga bagi pihak kerajaan Perpaduan malah jika gagal melaksanakan tugas diamanahkan, kita akan lakukan penukaran,” katanya.-UTUSAN










