Hormati Kerajaan Perpaduan

Hormati Kerajaan Perpaduan – Agong

SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan semua pihak supaya menerima kenya­taan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk untuk mentadbir negara.

Dalam titah sulung selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu, Seri Paduka menegaskan tidak akan melayan sebarang permintaan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, keuta­maan baginda adalah ke­ada­an hidup lebih 33 juta rakyat dan berharap semua ahli Parlimen menumpukan usaha membela nasib hidup seluruh rakyat dan bukannya kepenti­ngan parti politik serta diri sendiri.

Justeru, Seri Paduka menyeru semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan keseluruhan rakyat.

“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi semua 222 ahli Dewan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka dalam kerajaan,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga berharap semua ahli Dewan menunjukkan contoh yang baik apabila berada di Dewan dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.

Seri Paduka mengingatkan bahawa Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan semua ahli Dewan adalah para penggubalnya.

“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim turut memberi ‘lampu hijau’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana wakil rakyat yang tidak mematuhi peraturan sepanjang persidangan termasuk mengambil keputusan sekatan selama 14 hari.

Seri Paduka mengakui berasa malu memasuki Dewan Parlimen setelah melihat gelagat dan perangai ahli-ahli Parlimen sebelum ini.

“Jaga adab, jaga tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan dan bukannya memaki hamun orang lain. Kalau tengok perangai sebelum ini, saya pun berasa malu hendak masuk ke dalam Dewan ini.

“Yang Dipertua kedua-dua Dewan mesti menjalankan tugas dengan tegas bagi memastikan semua ahli masyarakat mematuhi peraturan dan disiplin sepanjang tempoh persidangan.

“Saya berikan green light (lampu hijau) kepada Speaker untuk ambil tindakan ahli melampau batas, boleh kenakan banned (sekatan) 14 hari jika ada masih degil,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas serta meneruskan pemerintahan mengutamakan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat.

Titah Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Seri Paduka adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Majlis Raja-Raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Pemerintahan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong sama seperti Yang di-Pertuan Agong terdahulu iaitu mengikut Perlembagaan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.

“Insya-Allah dengan izinnya saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas dan meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim bertitah, istiadat semalam amat bermakna kerana merupakan kali pertama berangkat ke bangunan Parlimen setelah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

“Saya adalah orang baharu, belum sampai satu bulan memegang Agong. Oleh itu banyak perkara kena saya belajar. Ucapan saya hari ini (semalam) juga, lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor. Saya bagi peluang supaya tidak ada yang yang tersinggung tapi akan datang harap berjaga-jaga,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim turut menyentuh isu Palestin apabila menitahkan supaya Malaysia menyuarakan ketegasan pendirian dengan menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepat kepada penduduk Gaza.

Titah Seri Paduka, pendirian Malaysia dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan lebih tegas di peringkat antarabangsa.

“Selain itu adapun di peringkat ASEAN mahupun peringkat dunia, Malaysia terus aktif memainkan peranan memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik serantau.

“Malaysia perlu menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera diaktifkan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepat,” titah Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×