PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tidak menerima sebarang pemberitahuan berhubung penganjuran perhimpunan Tuntut Reformasi 100% di Parlimen dekat sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya hari ini terkesan dengan poster yang tular di media sosial berkenaan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan dengan menyeru orang ramai berhimpun di Tugu Negara dan seterusnya berarak ke Parlimen.
“Pihak polis setakat ini tidak menerima sebarang Pemberitahuan Perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan tersebut.
“Selain itu, perhimpunan tanpa Pemberitahuan Perhimpunan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Justeru, tambahnya, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang.
“Tindakan yang tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN











