Sembilan samseng jalanan buat aksi berbahaya ditahan polis - Utusan Malaysia

Sembilan samseng jalanan buat aksi berbahaya ditahan polis

Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lagak sembilan samseng jalanan yang menunggang motosikal secara berbahaya terjerat diri di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban dan Plaza Tol Senawang, di sini awal pagi tadi.

Kesemua tangkapan berusia 16 hingga 24 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi oleh sepasukan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman, Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Selatan 1 dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, antara kesalahan dikesan adalah menunggang secara melulu seperti melawan arus, aksi ‘superman’ dan ubah suai nombor pendaftaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke IPD Seremban untuk tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(F) akta yang sama.

“Polis turut menyita motosikal terlibat jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC dan Modenas Kriss,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka ini tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan motosikal.

Bagaimanapun, mereka sanggup datang dari beberapa lokasi seperti Port Dickson dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain sekitar Lembah Klang untuk berkonvoi ke kedai makan di Senawang.

“JSPT turut mengeluarkan 101 saman hasil pemeriksaan 60 penunggang motosikal.

“Pelbagai kesalahan antaranya tiada nombor pendaftaran, ekzos bising, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada brek dan tiada cermin sisi,” ujarnya.

Tegasnya, JSPT menasihatkan penunggang motosikal supaya memastikan undang-undang serta peraturan lalu lintas dipatuhi.

“Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan pemalsuan butiran kenderaan.

“Operasi akan terus dijalankan bagi membendung kegiatan terbabit daripada terus berleluasa,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×