SAUDARA PENGARANG,
DENGAN ledakan informasi serta tekanan kehidupan, masyarakat Malaysia hari ini dilihat terlalu beremosi terutama apabila dilihat semakin cenderung untuk menghakimi sesebuah kes berkaitan jenayah lebih awal sebelum perbicaraan berlangsung tanpa melihat fakta-fakta yang ada serta betapa rumitnya proses undang-undang di Malaysia.
Antaranya, seseorang tertuduh belum boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Masyarakat juga tidak mahu menerima kenyataan bahawa sesuatu beban pembuktian bukan terletak kepada tertuduh, tetapi kepada pihak yang menuduh.
Malahan sesetengah figura tertentu yang masih dalam proses perbicaraan dan menanti tarikh perbicaraan, sewenang-wenangnya dianggap sudah dibebaskan dan tidak bersalah. Malangnya, hal ini hanya menyuburkan pelbagai persepsi negatif tentang kerajaan dan sistem keadilan di negara kita.
Namun, masyarakat tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Tidak boleh dinafikan bahawa persepsi negatif masyarakat yang semakin menebal telah sedikit sebanyak memburukkan situasi ini.
Pun begitu, situasi sebegini boleh diperbaiki, asal sahaja semua pihak sanggup bekerjasama dan mempunyai iktikad yang kuat untuk melakukannya.
Tentu sekali cara paling penting untuk melakukannya adalah menerusi pendidikan. Perkara ini tidak boleh berlaku hanya di sekolah, ia harus melibatkan pelbagai pihak yang lain seperti stesen televisyen dan pengendali media sosial.
Masyarakat perlu diikut-sertakan dalam pelbagai aspek undang-undang yang berkaitan kehidupan mereka. Mungkin sudah saatnya perbicaraan kes-kes berprofil tinggi di Malaysia disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Dengan ini, diharapkan masyarakat akan menyaksikan sendiri serta menyedari betapa rumit dan lamanya sesuatu proses undang-undang itu berlangsung.
Yang lebih penting lagi, pihak polis juga perlu menunjukkan lebih integriti untuk kembali dipercayai oleh masyarakat. Mereka juga perlu mempertingkatkan kredibiliti mereka daripada segenap segi. Salah satu prinsip Rukun Negara adalah Kedaulatan Undang-Undang. Konsep ini bermakna kesemua anggota masyarakat terikat oleh undang-undang dan wajib mematuhi undang-undang ini.
Oleh itu, biarlah proses undang-undang berjalan apa adanya dan berakhir dengan seharusnya, tentu sekali berdasarkan bukti dan fakta yang ada. Tidak perlulah kita terlalu terpesona dengan gambaran keadilan dan aspek perundangan di layar filem, yang tidak realistik dan terkadang hanya menjual sebuah mimpi.
Kita juga tidak boleh hanya bersandarkan luahan emosi sesaat kita dalam membuat keputusan. Kita tidak mahu menjadi sebuah negara anarkis, di mana rakyatnya menjadi hakim sendiri tanpa menyelidik letak duduk sesuatu keadaan terlebih dahulu. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan
UiTM Cawangan Perak
Kampus Seri Iskandar










