PETALING JAYA: Impian Manchester United untuk melakar kebangkitan di laman sendiri musnah selepas dikecewakan Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) penuh dramatik di Old Trafford awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan turun mempamerkan aksi penuh rancak namun tiada sebarang gol terhasil di separuh masa pertama.
Gol pertama perlawanan hadir selepas minit ke-65 apabila Calvin Bassey merembat kencang bola ke gawang United untuk meletakkan pelawat di hadapan.
Jaringan itu membuatkan kem United terus tertekan, namun mereka tidak mengalah untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila Harry Maguire berjaya meledak gol pada minit ke-89 selepas mendapat hantaran daripada Bruno Fernandes.
Situasi cemas seketika apabila pengadil terpaksa merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR) setelah wujud dakwaan Maguire berada dalam kedudukan ofsaid, namun gol tersebut sah dan United kembali bersemangat.
Begitupun, sisa perjuangan United terpadam jua apabila gagal menghalang larian Adama Traore sebelum mengumpan bola ke kaki Alex Iwobi untuk merembat kencang menewaskan Onana tiga minit sebelum wisel penamat dibunyikan.










