KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal melahirkan kekecewaan apabila melihat Sabah masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan biarpun negeri ini cukup kaya dengan sumber asli.
Beliau berkata, biarpun negeri ini kaya dengan sumber asli seperti kelapa sawit, gas, minyak dan emas namun, masalah bekalan asas seperti elektrik dan air masih menghantui rakyat di Sabah.
“Kita punya hasil minyak, gas dan kayu balak digunakan untuk membangun Kuala Lumpur. Malah, di sana tidak berlaku gangguan bekalan air dan elektrik.
“Tapi di Sabah sering berlaku gangguan elektrik dan ada catuan sehingga enam jam sehari. Namun, di Kuala Lumpur tiada gangguan elektrik, tiada masalah air dan jalan berlubang..kereta api pun laju.
“Di Sabah, kita punya kereta api, laju lagi kerbau,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina, di sini semalam.
Majlis anjuran Warisan Bahagian Kota Kinabalu itu dihadiri kira-kira 1,000 orang ahli parti dan tetamu jemputan dalam kalangan masyarakat Tionghua dan pelbagai kaum yang lain.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, di bawah semangat perpaduan yang ada di negara ini, perkongsian yang lebih adil perlu diberi perhatian bagi membolehkan pembangunan yang sama rata.
“Kita tidak mahu untuk mencapai perpaduan, mereka (Persekutuan) bersifat dominan. Kita tidak mahu begitu. Kita mahu perpaduan yang ada keikhlasan dan bagaimana untuk berkongsi.
“Jangan kita mahu berpadu tapi dia (Persekutuan) makan banyak tapi, kita makan sikit,” katanya.
Malah, daripada sejumlah RM393.8 bilion Belanjawan 2024, Sabah hanya menerima RM6.6 bilion dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan jumlah itu mencukupi. Hakikatnya jumlah itu tidak cukup dan tidak berlaku perkongsian yang adil.
Mohd. Shafie berkata, rakyat harus sedar dan terus bangkit pada pilihan raya negeri yang akan datang kerana tiada erti mengeluh pasal masalah air dan kos sara hidup yang tinggi jika, rakyat masih memilih parti yang sama.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan agar rakyat menolak pandangan ektremis dan sikap berprinsipkan kepentingan sendiri. Nilai kerjasama dan toleransi yang ada perlu terus dipertahankan.- UTUSAN










