Isu beras perlu diuruskan kementerian, bukan ‘katak’ politik - Akmal

Isu beras perlu diuruskan kementerian, bukan ‘katak’ politik – Akmal Saleh

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu padi dan beras perlu diketuai dan diuruskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala libat urus mesti membabitkan pesawah, pengilang serta pakar-pakar dalam bidang itu, bukannya diuruskan oleh ‘katak’ politik.

Itu penegasan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam, bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus dengan lebih terperinci berhubung situasi padi dan beras negara secepat mungkin.

Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menangguhkan cadangan berkenaan beras putih Malaysia Madani.

“Seharusnya isu padi dan beras ini perlu diketuai dan diuruskan oleh kementerian dan libat urus mesti melibatkan pesawah, pengilang dan juga pakar-pakar dalam bidang ini dan bukannya diuruskan oleh katak politik.

“Isu beras ini perlu diberi penekanan bagaimana pesawah kita perlu diperkasakan untuk mengolah hasil padi mereka dan insya-Allah keterjaminan pendapatan pesawah kita akan membawa kepada keterjaminan bekalan beras di negara ini.

“Moga libat urus yang diketuai oleh kementerian akan memberikan cadangan yang jauh lebih baik untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan, sesi libat urus itu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna.

Beliau turut mengarahkan supaya hasil libat urus dibentang dan dimuktamad dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac ini, sebelum dibawa ke pertimbangan Kabinet.

Anwar berkata, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersetuju mempertimbang semula penawaran harga beras putih import (BPI) dalam pasaran domestik supaya boleh dijual pada harga lebih rendah.

Terdahulu, Pengerusi NACCOL, Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) bermula 19 Februari ini.

Katanya, dengan nama baharu itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×